Kelebihan mengumpul dan menyimpan emas

Apa keistimewaan menyimpan emas? 9 Sebab kenapa perlu simpan emas

Masih ada yang tertanya-tanya, “untuk apa kita simpan emas?”, “Apa keistimewaan menyimpan emas?” Ada beberapa sebab kenapa kita perlu simpan emas. Di antaranya, saya nyatakan di bawah:

  1. Nilai jangka panjang terjamin (Emas penyelamat kejatuhan nilai matawang)
  2. Emas pelindung nilai terunggul
  3. Mudah dicairkan – emas adalah tunai
  4. Kekayaan di tangan kita
  5. Boleh dijadikan modal pusingan
  6. Ia aset mudah alih – mobile
  7. Menutup nafsu berbelanja (kekayaan bertahan lama)
  8. Aset fizikal mampu milik
  9. Tiada dalam sistem kewangan

Apa keistimewaan menyimpan emas?

Nilai jangka panjang terjamin (Emas penyelamat kejatuhan nilai matawang)

Nilai emas lebih terjamin dalam jangka panjang. Kita ambil contoh 1 Dinar. Pada zaman Nabi Muhammad SAW 1,400 tahun yang lalu, 1 Dinar boleh digunakan untuk membeli seekor kambing. Dan sekarang, selepas 1,400 tahun, harga untuk 1 Dinar masih mampu digunakan untuk membeli seekor kambing.

Walaupun kambing itu ada pelbagai jenis dan saiz, itu hal lain. Pokoknya, ia tetap mampu membeli seekor kambing walau selepas 1,400 tahun. Ini membuktikan kuasa beli yang ada pada emas bertahan untuk jangka panjang.

Berbeza dengan duit kertas yang kita simpan di bank. Sekitar 1980-an dahulu, budak-budak sekolah boleh bawa duit 50 sen sehari, cukup untuk mereka makan kenyang di sekolah. Tapi hari ni, 50 sen tu hanya mampu untuk beli segelas air sirap sahaja. Maksudnya hari ni, kebulur la anak-anak kalau kita masih berikan duit sekolah 50 sen sehari.

Jadi nampak tak kesan inflasi ke atas emas berbanding duit kertas? Hakikatnya, bukan harga barangan yang naik, tetapi kuasa beli duit kertas itu yang jatuh. Kita memerlukan lebih banyak duit untuk mendapatkan barang yang sama.

Emas pelindung nilai terunggul

Dari satu aspek lagi, emas adalah satu-satunya aset kewangan yang tak akan sekali-kali menjadi kosong! Ia tak ada tarikh luput, tak hangus dek api, bahkan emas yang dipotong dan dalam bentuk serbuk sekalipun ia tetap bernilai. Emas juga walaupun tertanam dalam tanah mahupun tenggelam dalam lautan beribu tahun, masih berkilau dan tidak karat atau rapuh.

Aset lain seperti tanah dan hartanah pun masih ada kebarangkalian menjadi kosong. Lihat sahaja apa jadi kepada kondominium Highland Tower? Apa jadi kepada tanah-tanah di negara yang bergolak? Tak ada siapa lagi yang mahu membelinya…

Mudah dicairkan – emas adalah tunai

Emas senang ditukar kepada tunai. Bagi saya, emas macam duit tunai juga cuma dalam bentuk berbeza. Ia aset fizikal yang paling mudah dicairkan. Bila simpan emas, kita tak perlu risau kalau nak pakai duit. Emas itu boleh dijual pada bila-bila masa, dan di mana sahaja. 

Kalau bawa emas itu ke luar negara sekalipun, ia tetap laku sebab ia emas. Ia “international money” yang diterima sejak zaman berzaman. Kalau sayang nak jual emas tu, kita boleh pajak di ar-rahnu untuk dapatkan pinjaman. Lepas tu cari balik duit untuk tebus emas tu.

Kekayaan di tangan kita

Menyimpan emas hakikatnya kita menyimpan kekayaan itu di tangan kita sendiri. Walau apa pun yang berlaku pada ekonomi dan politik semasa, selagi kita memiliki emas, kekayaan itu memang berada di tangan kita. Nilai emas berdiri dengan sendiri. Nilainya dipegang kukuh oleh BERAT dan KETULENANnya TANPA perlu JAMINAN sesiapa.

Berbeza dengan aset lain yang nilainya bergantung kepada faktor luar. Sebagai contoh, nilai duit kertas terletak bukan pada kertasnya, tapi ia terletak pada jaminan kerajaan, kestabilan ekonomi dan politik negara.

Duit kertas RM100 kalau dipotong dua, nilainya bukan RM50 setiap keping, tapi ia menjadi RM0! Dan kalau ia disimpan lama ‘di bawah tilam’, ia boleh jadi tidak laku sebab ia ada tarikh luput sebagaimana duit syiling RM1 (termasuklah not RM500 dan juga not RM1,000 satu ketika dulu) yang tidak lagi laku pada hari ini. Duit itu juga tidak laku di luar negara.

Maksudnya, walaupun duit kertas itu berada di tangan kita, hakikatnya kekayaan itu tidak terletak di tangan kita.

Boleh dijadikan modal pusingan

Bila simpan duit di bank, sebenarnya duit kita dipusing oleh bank dengan bagi pinjaman kepada orang lain (atau kepada kita sendiri!) dengan caj keuntungan yang tinggi. Bank-bank ada target mereka sendiri. Mereka mesti pinjamankan duit tu untuk menjana keuntungan. Sebab itu bank pun ada “sales person” sendiri untuk ‘jual’ pinjaman-pinjaman mereka. Mereka mesti pusingkan duit yang kita simpan itu.

Berbeza dengan emas. Kita boleh pusing kekayaan kita sendiri. Kalau orang berniaga, emas tu boleh dijadikan modal pusingan. Bila perlukan duit untuk rolling, pajak sahaja emas itu di ar-rahnu untuk dapatkan pinjaman. Bila dah selesai urusniaga, tebus balik emas tu.

Akhir sekali, kita masih ada emas (yang dijadikan modal pusingan) dan keuntungan tunai (hasil bisnes). Dan yang paling penting, duit modal kita tak akan bocor. Kita tak berpeluang ‘curi’ duit bisnes seratus dua untuk berbelanja kegunaan peribadi (ingat, duit bisnes bukan duit peribadi) sebagaimana duit tunai. Jadi modal bisnes kita tu akan lebih selamat dalam bentuk emas.

Ia aset mudah alih – mobile

Emas merupakan aset fizikal mudah alih. Ia merupakan aset fizikal yang paling mudah alih. Ia adalah aset ‘mobile’, boleh dibawa ke mana-mana sahaja. Berbeza dengan tanah dan rumah, ke dua-duanya tak boleh dialihkan. Kalau hendak dijual sekalipun, proses tersebut tentunya akan memakan masa. Paling cepat pun akan mengambil masa sekitar enam sehingga sembilan bulan; sama sekali berbeza dengan emas.

Sewaktu zaman peperangan panjang antara US dan Vietnam dahulu, ramai rakyat Vietnam lari meninggalkan negara dan jadi pelarian. Mereka jual segala harta yang ada dan ditukarkan kepada kepingan-kepingan emas yang dinamakan Vietnam Kim Thant. Kepingan emas tu bentuknya nipis. Mereka boleh sorokkan dalam jahitan baju. Bila sampai ke negara lain, mereka boleh memulakan hidup baru bermodalkan emas yang mereka bawa. Di saat peperangan begitu, pastinya duit kertas tak lagi bernilai.

Menutup nafsu berbelanja (kekayaan bertahan lama)

Dari sudut psikologi, bila simpan emas, kita rasa sayang nak jual dan nafsu berbelanja akan tertutup secara automatik! Naluri manusia sejak zaman berzaman memang suka kumpul emas sebab ianya cantik.

Berbeza dengan duit kertas. Seronoknya emas pada mengumpul dan menyimpannya, tapi seronoknya duit ialah pada membelanjakannya. Tak ada orang simpan emas yang fikir nak belanjakan emas mereka, tapi orang yang simpan duit mesti terfikir-fikir, di mana nak dibelanjakan duit itu! Jadi itulah sebab kenapa bila simpan emas, kekayaan kita lebih bertahan lama. InsyaAllah.

Aset fizikal mampu milik

Emas merupakan aset fizikal yang mampu milik. Selain dari emas, antara aset fizikal yang pada saya bagus untuk disimpan dalam jangka panjang ialah tanah dan hartanah. Nilainya lebih terjamin dalam jangka panjang berbanding aset kertas.

Berbanding emas, tanah dan hartanah tidak boleh dibeli dengan bajet yang kecil. Meskipun harganya dipaparkan dalam harga setiap kaki persegi, namun kita tidak boleh membelinya dengan bajet hanya keluasan satu kaki persegi sahaja. Ia memerlukan modal yang besar.

Berbeza dengan emas, kita boleh mengumpulnya sedikit demi sedikit, bermula dengan item sekecil satu gram. Ia boleh dijadikan simpanan secara bulanan. Sebagai contoh, kita boleh disiplinkan diri menyimpan “1 gram 1 bulan” sebagai forgotten saving. Lepas 12 bulan, sedar-sedar, dalam simpanan dah ada 12 gram.

Dan dengan adanya kaedah pembelian emas fizikal melalui “Akaun Emas” sebagaimana yang ditawarkan oleh syarikat seperti Public Gold dan beberapa buah bank, kini setiap orang mampu membeli dan menyimpan emas dengan mudah dan murah. Ia benar-benar aset fizikal mampu milik oleh sesiapa sahaja termasuklah di kalangan pelajar kolej dan universiti.

Tiada siapa tahu!

Bila kita menyimpan emas, tiada siapa yang tahu berapa banyak yang kita simpan, kecuali kita sendiri yang beritahu. Menurut Robert T. Kiyosaki, emas (dan perak) merupakan satu-satunya aset kewangan yang tiada rekod dalam sistem kewangan.

Dengan keistimewaan ini, orang yang telah bankrap pun boleh simpan emas. Tiada siapa yang boleh ambil dan bekukan simpanan emas kalaupun seseorang itu diisytiharkan bankrap. Berbeza dengan aset lain seperti akaun bank, rumah, saham dan lain-lain.

Inilah antara sebab kenapa saya lebih yakin menjadikan emas sebagai simpanan jangka panjang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *